fb fb fb fb fb

Integriti PSAG terpelihara, tiada kuota lulus – Peguam Negara

Peguam Negara, Datuk Dusuki Mokhtar / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 April – Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (PSAG) komited memastikan kualiti dan integriti Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) terus terpelihara dan memenuhi kehendak semasa profesion undang-undang di negara ini.

Pengerusinya yang juga Peguam Negara, Datuk Dusuki Mokhtar, berkata pelbagai langkah positif telah diambil bagi menjamin piawaian tinggi peperiksaan itu selaras dengan keperluan industri perundangan.

Antara langkah tersebut termasuk pelantikan penyedia kertas soalan dan pemeriksa skrip jawapan daripada kalangan hakim dan pesuruhjaya kehakiman, pegawai undang-undang kanan, pengamal undang-undang kanan serta pensyarah undang-undang dari universiti terkemuka negara.

“Kesemua mereka ini amat berwibawa, berpengalaman dan berkepakaran dalam bidang undang-undang serta telah menunjukkan kesungguhan dan dedikasi yang tinggi dalam memastikan penyediaan kertas soalan dan pemeriksaan skrip jawapan dilaksanakan selaras dengan kualiti dan standard profesion,” katanya.

Tambah beliau, penetapan garis panduan ketat dan jelas dalam pemarkahan dan penggredan turut menjadi antara langkah penting yang ditekankan oleh lembaga.

“Dalam menentukan keputusan peperiksaan, lembaga hanya mempertimbangkan faktor merit tanpa sebarang kuota bagi kelulusan sijil amalan guaman. Keputusan dibuat secara adil, telus dan profesional,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Konvokesyen ke-28 PSAG 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD