KUALA LUMPUR, 17 Disember-Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mempergiat kerja-kerja baik pulih serta penyediaan pelaporan bagi insiden lubang benam yang berlaku pada 23 Ogos 2024 yang lalu.
Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa status terkini semasa kerja-kerja baikpulih tapak lubang benam kedua berhadapan bit Polis Jalan Masjid India telahpun siap sepenuhnya.
"Jalan serta lorong berhampiran telah pun dibuka kepada orang awam pada 10 November 2024 yang lalu.
"Walau bagaimanapun, kawasan ‘Ground Zero’ di hadapan Wisma Melayu masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan fasa terakhir.
"Kerja-kerja tersebut dijangka selesai pada hujung Disember 2024. Jadi awal tahun depan, Insya-Allah aktiviti-aktiviti biasa atau normal akan dapat dilaksanakan kembali", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dalam Dewan Negara hari ini.
Jelasnya, DBKL juga sedang membuat kompilasi ulasan-ulasan daripada pelbagai agensi untuk dimasukkan bersama di dalam laporan serta data serta analisis data siasatan tanah yang telah dijalankan.
Melalui Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi membantu DBKL untuk menjalankan kerja-kerja kajian geoteknikal struktur lapisan tanah di jalan-jalan utama sekitar Kuala Lumpur.