KUALA LUMPUR, 4 Julai - Gangguan sementara perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pagi tadi, berpunca daripada kerosakan teknikal pam saliran di terowong sedia ada dan bukannya akibat kelemahan sistem Aerotrain baharu.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kegagalan pam menyebabkan air hujan bertakung sehingga mencapai paras keselamatan yang secara automatik mengaktifkan sistem keselamatan tren dan menghentikan operasi sebagai langkah berjaga-jaga.
“Tindakan ini membuktikan sistem keselamatan Aerotrain berfungsi seperti yang sepatutnya, iaitu mengutamakan keselamatan penumpang. Perkhidmatan disambung semula selepas pemeriksaan keselamatan selesai pada pukul 12.15 tengah hari,” jelas beliau.
Selain itu, insiden pada 2 Julai lepas yang melibatkan gangguan pintu platform disebabkan oleh penumpang turut mencetuskan tindak balas sistem keselamatan bagi mengelakkan sebarang kecederaan.
Beliau memberi jaminan bahawa aset Aerotrain baharu dibina mengikut piawaian antarabangsa dan berfungsi dengan baik. Malaysia Airports dan Kementerian Pengangkutan akan terus menambah baik operasi demi menyediakan perjalanan yang selamat dan lancar kepada semua pengguna.
Beliau turut menghargai kesabaran dan kefahaman orang ramai dalam fasa penyesuaian awal tersebut.