fb fb fb fb fb

Inovasi sosial semakin penting, rangsang pasaran sosial

BERA, 15 Oktober - Ketidaktentuan ekonomi dunia menjadikan inovasi sosial semakin penting pada masa kini, dalam merangsang pasaran sosial yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

Dengan tumpuan inovasi di peringkat serantau dan tempatan, inovasi sosial dapat dipupuk menggunakan pendekatan yang berbeza menerusi pembangunan inkubator (inovasi) sosial seperti program Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi Dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) .

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inovasi sosial berpeluang menyelesaikan isu sosial yang mendesak kerana potensinya mewujudkan peluang pekerjaan melalui pasaran baharu yang boleh dibangunkan daripada idea inovator akar umbi.

Ini memandangkan pemulihan dalam pertumbuhan negara bagi tahun 2022 bukanlah semata-mata berkait dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja tetapi juga pembangunan yang terangkum daripada semua aspek.

Selain itu, inovasi sosial mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi bandar dan desa.

(Ismail Sabri berucap pada
Majlis Perasmuan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera, Pahang di Felda Bukit Puchong)

"Inovasi sosial tidak seharusnya dilihat sebagai projek atau inisiatif sekali sahaja (one-off) kerana perlu disokong oleh minda keusahawanan agar proses menjana sumber baharu sentiasa berkembang, selari dengan pertumbuhan organisasi dan daya saing pasaran yang mampan.

"Saya menyeru kepada institusi-institusi korporat untuk turut memberi sokongan kepada Kerajaan dan bekerjasama dengan YIM sebagai ejen inovasi sosial yang menyokong pembangunan inovator akar umbi kita," kata Ismai Sabri di sini.

Beliau berharap melalui platform Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini akan menggalakkan lebih ramai inovator akar umbi tampil dengan inovasi dan teknologi yang boleh dikomersialkan.

Pada majlis itu, terdapat sesi pertukaran surat hasrat kerjasama pengendalian modul latihan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia antara YIM yang merupakan yayasan di bawah MOSTI dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

YIM telah diberi mandat untuk membangunkan tujuh Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia termasuk di Bera,Pahang.

Sejak 2012, seramai 6,000 inovator akar umbi telah dibantu MOSTI melibatkan pelaburan kewangan kerajaan sebanyak lebih RM50 juta.

Media Baharu