fb fb fb fb fb

Inkues Zara Qairina: Saksi bawa patung simulasi ke mahkamah

Inkues kematian Zara Qairina memasuki hari kelima dengan keterangan saksi di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU, 10 September - Saksi kelima prosiding inkues kematian Zara Qairina, Inspektor Maidon Bernadus dari Unit Siasatan Tempat Kejadian, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, menyambung keterangannya, pagi ini.

Beliau turut membawa sebuah patung ke mahkamah bagi menunjukkan simulasi yang dijalankan polis berhubung kes tersebut.

Dalam keterangan terdahulu, Maidon memaklumkan polis telah merakam video simulasi di lokasi Zara ditemukan, termasuk melaksanakan proses bina semula tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden itu.

Simulasi berkenaan menggunakan sebuah patung seberat kira-kira 53 kilogram, menyerupai berat fizikal Zara.

Bagaimanapun, patung tersebut mempunyai ketinggian 180 sentimeter, iaitu 27 sentimeter lebih tinggi daripada ketinggian sebenar Zara yang hanya 153 sentimeter.

Inkues dijalankan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, yang juga Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Prosiding itu turut menjadi tumpuan pengamal media yang mula memenuhi pekarangan mahkamah seawal pukul 8 pagi untuk membuat liputan menyeluruh.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN