fb fb fb fb fb

Inisiatif pemberian tuala wanita percuma akan dimulakan

PUTRAJAYA, 12 Disember - Kementerian Kesihatan (KKM) bakal memulakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma bagi menangani isu kemiskinan haid di negara ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Sebagai permulaan, inisiatif itu akan mula dilaksanakan di Pejabat Menteri di Bangunan KKM dalam masa terdekat.

"Kita buat di pejabat menteri (dulu) selepas itu (bakal dilaksana) di seluruh kementerian (KKM), seterusnya kita akan bekerjasama mungkin antara agensi dan kementerian lain yang mungkin akan melihat khusus pada kemiskinan haid ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKM, di sini.

Dr Zaliha berkata, cadangan sama ada meneruskan pemberian tuala wanita percuma seperti yang telah dilaksanakan dalam Belanjawan 2022, akan diteliti untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023.

(FOTO HIASAN)

Kerajaan sebelum ini, telah memberikan bantuan bulanan kit asas kebersihan diri secara percuma kepada 130,000 remaja wanita B40 seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2022, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap isu kemiskinan haid di Malaysia yang berada pada tahap membimbangkan.

Kerajaan Selangor menerusi pembentangan Belanjawan 2023, telah memperuntukkan RM200,000 bagi memberdaya kaum wanita, termasuk kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita secara percuma, menjadikan Selangor negeri pertama memberikan tuala wanita percuma.

Kemiskinan haid merujuk kepada keadaan apabila wanita atau keluarga tidak mampu memiliki tuala wanita atas sebab kekangan kewangan.

Media Baharu