Inisiatif MyPWA kurangkan beban guru, tingkat keselamatan asrama

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 April – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik seramai 300 Personel MySTEP sebagai Pembantu Warden Asrama (MyPWA) berkuat kuasa 1 April 2026, dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan di sekolah berasrama di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif MyPWA kurangkan beban tugas guru supaya mereka boleh fokus pada pengajaran dan pembelajaran.
  • MyPWA mempertingkatkan tahap keselamatan dan kebajikan murid dalam asrama melalui pemantauan, terutamanya waktu malam.
  • Pelaksanaan akan diperluaskan sebagai sebahagian agenda reformasi keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.
  • Langkah selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia untuk membolehkan guru tumpu sepenuhnya pada aktiviti PdP.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif MyPWA diperkenalkan bukan sahaja untuk memperkukuh aspek keselamatan, malah turut membantu mengurangkan beban tugas guru.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pembantu warden ini akan memainkan peranan penting dalam membantu warden, khususnya dalam pemantauan waktu malam, bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid asrama sentiasa terpelihara.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah KPM,” katanya hari ini.

Tambah beliau, langkah tersebut juga selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menekankan keperluan untuk guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP).

KPM optimis bahawa pelantikan MyPWA mampu mewujudkan persekitaran asrama yang lebih selamat dan kondusif, sekali gus menyokong pembangunan holistik pelajar.