fb fb fb fb fb

Inisiatif Mekah Route tahun ke-5, permudah urusan Dhuyufurrahman

Foto FB Menteri

SEPANG, 1 Jun- Memasuki tahun ke-5 pelaksanaan inisiatif Mekah Route, membolehkan bakal jemaah haji memendekkan masa urusan penerbangan sebaik tiba di lapangan terbang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata program itu dilihat berjaya melancarkan pergerakan jemaah termasuk melibatkan proses imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang di Madinah serta Jeddah.
 
"Kalau dulu bakal haji kita terpaksa menunggu sekitar 4 hingga 5 jam di imigresen. Saya ingat dulu masa saya pergi haji lebih kurang macam itulah.

Namun, dengan adanya perkhidmatan Mekah Route ini, lebih kurang 55 orang pegawai daripada kerajaan Arab Saudi ditempatkan di sini selama sebulan, untuk memudahkan perjalanan bakal jemaah haji kita," kata Naim kepada pemberita di KLIA, hari ini.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar menyantuni
356 orang jemaah haji Malaysia di Movenpick Hotel, Sepang/Foto FB Menteri)

Tambahnya, Malaysia merupakan negara pertama melaksanakan program perintis bagi Mekah Route atau ‘laluan Mekah’, sejak tahun 2017 sehingga kini.

Inisiatif tersebut diteruskan apabila Tabung Haji diberi kepercayaan itu oleh kerajaan Arab Saudi sekali gus inisiatif itu dikekalkan untuk Malaysia.

"Mekah Route ialah nikmat besar kepada jemaah haji Malaysia yang harus disyukuri oleh kerana telah dipermudah urusan keberangkatan mereka oleh kerajaan Arab Saudi berbanding negara lain," tambah Naim.

Beliau turut berkesempatan menyantuni dan mengucapkan selamat jalan kepada 356 orang jemaah haji Malaysia di Movenpick Hotel, Sepang sebelum berangkat ke KLIA.
 
Setakat hari ini, kira kira seramai 12,000 jemaah haji Malaysia telah tiba di tanah suci melalui proses Mekah Route.

Media Baharu