fb fb fb fb fb

Inisiatif Kecemerlangan Pendidikan, Melaka agih RM14.5 juta kepada 241 buah sekolah

Foto FB Ketua Menteri

AYER KEROH, 3 Februari- Kerajaan negeri Melaka menyediakan peruntukan Inisiatif Kecemerlangan Pendidikan berjumlah RM14.5 juta ke arah memperkasa pendidikan di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata peruntukan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu disalurkan menerusi beberapa inisiatif seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2024.

Antara inisiatif yang diperuntukkan di bawah inisiatif tersebut adalah Program Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia, Bantuan Mesra Bayi, Bijak Tahfiz, Bantuan mesra Anak Orang Asli,  Insentif Bijak Sejarah dan bantuan kepada para graduan university. 

"Ia melibatkan sebanyak 241 buah sekolah di dalam negeri Melaka dan 2,060 penerima. Kerajaan negeri telah memperuntukkan inisiatif kecemerlangan pendidikan negeri Melaka sebanyak RM14.5 juta," kata Ab Rauf kepada pemberita pada majlis perasmian Pelancaran Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah-Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Sesi Akademi 2024, di sini.

Secara keseluruhan bantuan yang diagihkan memberi manfaat kepada 2,060 murid sekolah rendah di negeri itu.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri terus komited memastikan semua anak Melaka mendapat akses pendidikan yang terbaik tanpa mengira kaum dan latar belakang keluarga menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM