KUANTAN, 8 April - Pelaburan China di Malaysia menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) tidak akan mengakibatkan negara termasuk dalam 'perangkap hutang' negara berkuasa besar itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebaliknya berkata pembiayaan China dalam projek berskala besar seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan perlu dilihat sebagai kerjasama dua hala yang strategik.

"Ini merupakan satu pilihan kerajaan, jadi bila kita tandatangan satu satu perjanjian itu, komitmen kita, kena ambil tanggungjawab.
"Sudah tentu apabila kita mahu laksanakan satu-satu projek, dia sudah tentu ada kelebihan, jadi dia tidak bolehlah dilihat bahawa ini seolah-olah satu perangkap untuk kita hutang kepada mana-mana pihak atau negara China," katanya pada sidang media selepas majlis Ulang Tahun ke-10 Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan media Barat berkaitan amaran 'perangkap hutang' kepada negara membangunkan infrastruktur mereka melalui BRI yang dipromosi China sejak tahun 2008.