BANGI, 13 Julai- Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan infografik perbelanjaan barangan runcit yang disiarkan Jabatan Komunikasi Masyarakat (JKOM) adalah menepati takrif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Namun, pihak JKOM juga perlu peka dan mengambil kira situasi semasa bagi mengelakkan sebarang salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Pengarah JKOM menyatakan bahawa semuanya diselaraskan dengan baik pada masa akan datang. Saya juga telah menyemak dengan kedua-dua pihak, JKOM dan KPDN untuk memastikan dari segi angka pada grafik itu betul, cuma aduannya adalah mereka tidak peka," kata Fahmi kepada pemberita hari ini, di sini.
Beliau berpendapat JKOM perlu melihat semula modus operandi dan hanya menumpukan kepada aspek utama dan satu sesi rundingan akan dibuat bagi mencari kesepakatan dalam isu tersebut.
Terdahulu, JKOM telah mengeluarkan infografik yang mendakwa isi rumah berpendapatan RM1,500 mampu membiayai empat ahli keluarga yang lain dengan perbelanjaan runcit sebanyak RM391 sebulan.
Ia termasuk perbelanjaan dua ekor ayam, dua kampit beras seberat 10 kilogram, dua botol minyak masak, satu karton telur, dua ketul roti jumbo dan satu silinder gas.
(Infografik yang disiarkan JKOM)