KANGAR, 20 Mei - Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Perlis terus mengerakkan hebahan bergerak atau 'Info On Wheels' (IOW) bagi mendekatkan masyarakat dengan maklumat dan isu semasa.
Sehingga semalam lebih 1,000 hebahan bergerak dilaksanakan di seluruh 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi ke semua tiga kawasan parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar.
Manakala sepanjang tahun lalu sahaja, lebih 3,000 program Info On Wheels telah dilaksanakan dengan pelbagai informasi disampaikan kepada masyarakat.
Menurut Pengarah Penerangan Perlis, Azrul Hassan pihaknya mengerakkan pegawai dan kenderaan untuk membuat hebahan setiap hari di kawasan-kawasan yang dikenal pasti setiap hari.
Bukan hanya menyampaikan maklumat berkaitan program dan inisiatif kerajaan, turut disampaikan hebahan berkaitan program-program yang dianjurkan jabatan dan agensi kerajaan di Perlis.
(Azrul bercakap kepada pemberita pada
Program Hari Terbuka Info On Wheels di Dewan Sivik, Jabatan Penerangan Negeri)
"Kita dari masa ke semasa. Tetapi kalau dapat dilakukan lebih banyak lagi itu lebih baik. Sebab memandangkan bahawa kita sekarang ini masih lagi ada kadang-kadang tu maklumat-maklumat yang perlu disampaikan oleh pihak kerajaan dan perkara ini memang satu perkara yang penting. Jadi kalau boleh sekiranya ada permintaan, sekiranya ada arahan dan kita akan terus laksanakan sehingga ke hujung tahun la," kata Azrul di sini.
Hebahan berkenaan dilaksanakan melalui pembesar suara oleh pegawai bertugas di beberapa lokasi seperti kedai makan, pasar pagi, kawasan perumahan dan kampung serta lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai.
Setiap hari dua pasukan hebahan digerakkan di lokasi berbeza, dan program ini dilihat mampu memberi kesedaran tinggi kepada masyarakat khususnya.