fb fb fb fb fb

Industri tekstil, pakaian dan kasut sumbang RM1.21 bilion kepada KDNK

KUALA LUMPUR, 29 September- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan industri tekstil, pakaian dan kasut menyumbang RM1.21 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini.

Pelaburan dalam sektor itu mencatatkan nilai RM3.23 juta pada separuh pertama tahun ini manakala eksport berjumlah RM8.76 bilion pada tempoh sama.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustrian MITI, Datuk Hanafi Sakri berkata pertumbuhan sektor ini dilihat bergantung kepada ekosistem komprehensif dan pengadaptasian revolusi industri 4.0 (IR4.0).

"Melalui Dana Intervensi Industry4WRD dibawah MITI, syarikat telekung tempatan, Siti Khadijah telah menambah teknologi dalam 50 mesin jahit sedia ada. Hasilnya, syarikat itu menyaksikan peningkatan produktiviti sebanyak 139 peratus bagi tempoh November 2021 hingga Jun 2022.

Langkah berani itu perlu bagi mengadaptasi teknologi dan meningkatkan kecekapan dalam automasi dan pendigitalan," kata Hanafi kepada RTM dalam Pelancaran Kuala Lumpur Fashion Week Connect Point 2022 di ibu negara.


(Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustrian MITI, Datuk Hanafi Sakri)

Setakat ini, pesaing utama negara dalam industri tekstil dan pakaian ialah China, Amerika Syarikat dan India.

Media Baharu