KUALA LUMPUR, 23 Jun - Pihak industri perlu terus memperbaiki amalan lestari mereka ke arah mendukung ekonomi hijau, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata industri juga boleh mendapat manfaat dengan mempromosikan amalan lestari seperti inovasi dalam proses pengeluaran dan penggunaan tenaga secara berkesan, yang boleh mengurangkan kos perniagaan sambil menjaga alam sekitar.
“Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan industri-industri untuk meningkatkan pemuliharaan alam sekitar termasuk pembiayaan untuk mempromosi penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi hijau, program latihan dan insentif untuk mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar.
Tetapi kami juga sedar akhirnya jalan terbaik untuk melangkah ke hadapan, adalah bagi perniagaan dan industri untuk menyedari sendiri bahawa kelestarian adalah langkah kemajuan,” beliau berkata dalam ucapan perasmian pada Majlis Penyampaian Anugerah Bunga Raya Perdana Menteri (PMHA) di sini, semalam.
Tambahan pula, beliau berkata institusi seperti PMHA adalah sebuah platform penting untuk mengiktraf kepatuhan pemain industri terutamanya sektor awam di atas usaha mereka ke arah amalan terbaik dan kelestarian.
(Nik Nazmi Nik Ahmad/FOTO BERNAMA)
Mengulas tentang penyampaian anugerah itu, Nik Nazmi berkata anugerah itu akan menjadi inspirasi kepada semua industri untuk terus berusaha ke arah kelestarian alam sekitar.
“Saya ingin mengucapkan tahniah lagi kepada penerima PMHA 2021/2022. Semoga ini merupakan permulaan kepada perkara yang lebih baik untuk anda semua dalam perjalanan menuju kelestarian.
Saya yakin pencapaian luar biasa syarikat-syarikat ini akan memberikan inspirasi kepada yang lain untuk berjaya seperti mereka demi kebaikan negara dan planet yang kita sayangi,” katanya.
Pada majlis itu, Bakun Hydro Power Generation memperoleh anugerah tertinggi, Piala Cabaran dalam PMHA 2021/2022 yang disampaikan Nik Nazmi.
Sejumlah 22 syarikat juga memperoleh pencapaian cemerlang dan luar biasa sepanjang kitaran 2021/2022 dalam kategori Anugerah Pencapaian Cemerlang antaranya Heraeus Materials (M) Sdn Bhd, Petronas Dagangan Berhad and Hengyuan Refining Company Berhad.
Bagi kategori Anugerah Projek Khas, pemenangnya ialah Top Glove Sdn Bhd (Kilang 30) selaku pemenang emas diikuti Petronas Gas Berhad Regasification Terminal Sg. Udang (perak) dan Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd (gangsa) yang mengetengahkan projek alam sekitar terbaik masing-masing. - BERNAMA