fb fb fb fb fb

Industri e-sukan negara perlukan sokongan kerajaan dan penajaan korporat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Industri e-sukan negara memerlukan sokongan bukan sahaja daripada kerajaan, malah daripada penajaan syarikat tersenarai bagi memastikan sektor ini terus berkembang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada syarikat penaja adalah langkah penting untuk menyokong pembangunan e-sukan di Malaysia.

"Masa depan e-sukan sangat cerah di Malaysia. Yang penting bukan hanya atlet yang terlibat tetapi ia juga harus dijadikan satu industri, iaitu industri kandungan bagi e-sukan ini," katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Dunia IESF Mobile Legends: Bang Bang 2025 antara pasukan Malaysia dan Kemboja di Kuala Lumpur.

Beliau menambah, TVET akan terus menganjurkan kursus berkaitan e-sukan, manakala GIATMARA dan Institut Kemahiran MARA (IKM) menyediakan institusi khusus untuk latihan atlet.

UniKL pula telah mula menawarkan subjek yang memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan e-sukan.

Zahid turut memuji kejayaan pasukan e-sukan negara menjuarai kejohanan dunia itu, sekali gus membuktikan kemampuan atlet tempatan di pentas global.

Langkah strategik ini dijangka membina ekosistem mampan bagi melahirkan pelapis muda dan pembuat kandungan profesional.

AZRUL FAIZAL JUSOH