KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Harga eksport Malaysia pada September 2023 meningkat 1.6 peratus daripada 142.3 mata pada bulan sebelumnya kepada 144.6 mata, manakala harga import menokok 1.5 peratus daripada 128.8 mata pada Ogos kepada 130.7 mata, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan indeks nilai seunit eksport itu disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (3.6 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran, (2.6 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.0 peratus).
“Pada masa sama, indeks volum eksport menokok 6.5 peratus pada bulan sama, selaras dengan peningkatan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (21.3 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (7.0 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (2.7 peratus),” katanya dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Negeri, Malaysia, September 2023 hari ini.
Indeks volum eksport pelarasan bermusim susut 4.1 peratus daripada 161.1 mata kepada 154.5 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing turun 3.5 peratus dan 10.6 peratus.
Peningkatan indeks nilai seunit import disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (5.8 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.3 peratus) dan bahan kimia (0.3 peratus).
Sementara itu, indeks volum import merosot 1.3 peratus pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kemorosotan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (46.8 peratus) dan minyak galian (6.0 peratus).
Mohd Uzir berkata indeks volum import pelarasan bermusim pula bertambah 2.6 peratus daripada 170.4 mata kepada 174.8 mata.
“Perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan indeks nilai seunit import dan indeks volum masing-masing berkurangan 1.4 peratus dan 11.5 peratus,” katanya.
Selain itu, terma perdagangan Malaysia meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 110.6 mata pada September 2023, didorong oleh peningkatan indeks pelbagai barang keluaran kilang (0.8 peratus), bahan kimia (0.8 peratus) dan makanan (0.2 peratus).
Bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun susut 2.1 peratus daripada 113.0 mata pada September tahun lepas.-BERNAMA