fb fb fb fb fb

Imigresen, agensi penguatkuasaan jalin kerjasama beri pendedahan elak diperdaya

PUTRAJAYA, 16 Ogos- Jabatan Imigresen Malaysia akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memberi pendedahan dan advokasi kepada masyarakat supaya tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang menawarkan pekerjaan di luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya sedang meneliti kaedah terbaik yang membolehkan platform media sosial setiap agensi penguatkuasaan dimanfaatkan bagi menyebarkan maklumat mengenai tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu.


(Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee)

"Kita sedang meneliti perkara tersebut dan saya telah mengarahkan bahagian korporat untuk mengeluarkan senarai nasihat dan tips agar rakyat tempatan berhati-hati sekiranya mereka menerima tawaran pekerjaan daripada agensi yang menjanjikan mereka pekerjaan dengan gaji yang lumayan", katanya dalam sidang media selepas majlis prapelancaran 'Immigration Run 2022'.

"Kalau kita lihat di dalam sesawang PDRM banyak memberi nasihat dan berkongsi tips bagaimana untuk mengenali 'scammer' ini. Jadi orang ramai boleh lawati laman web PDRM ini untuk dapatkan pendedahan bagaimana untuk mengenali mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dan menipu rakyat Malaysia ini, khususnya di Cambodia.

Beliau mengulas peranan Jabatan Imigresen dalam usaha memastikan rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di luar negara menerusi media sosial.

Media sebelum ini melaporkan 16 rakyat negara ini menjadi mangsa penipuan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja, sebaliknya mereka dipaksa menjadi scammer di negara terbabit.

Media Baharu