fb fb fb fb fb

IKN Nusantara perkukuh hubungan diplomatik dan pembangunan

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Hasrat Malaysia dalam mencari jalan terbaik untuk memastikan pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan dapat memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak, disokong pakar ekonomi dan politik.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib hubungan istimewa kedua-dua negara akan semakin erat terutama dari segi diplomatik serta pembangunan.

"Pembangunan nusantara terutama sekali di Kalimantan dilihat akan memberi manfaat besar kepada wilayah Sabah dan Sarawak terutamanya dalam beberapa perkara.

"Yang pertama ialah melihat kepada guna tenaga buruh di dua negara saya kira akan lebih mudah dan lancar dalam sektor perladangan terutamanya iaitu kelapa sawit.

"Yang kedua pembangunan di nusantara di Kalimantan juga akan mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan dalam maksud kedua-dua negara akan lebih anjal dari segi kerjasama keselamatan sempadan sesuai dengan pembangunan inklusif nusantara," katanya kepada RTM.

(Prof. Dr. Kartini Aboo Talib)

Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Jayum Anak Jawan berkata usaha itu secara tidak langsung dapat membentuk sebuah jaringan kerjasama dalam membangunkan kawasan nusantara.

"Malaysia khususnya Sarawak, Sabah tidak ada pilihan kedua-dua negeri itu dia mesti menyediakan, mesti mengambil perhatian dalam pembangunan ini kalau tidak kedua-dua wilayah itu akan ketinggalan.

"Bukan sahaja itu, negeri-negeri lain negara-negara lain akan cuba juga mendapat bahagian dalam kebangkitan pembangunan nusantara itu," jelasnya.

(Prof. Datuk Dr. Jayum Anak Jawan)

Media Baharu