PETALING JAYA, 8 Februari- Institut Koperasi Malaysia (IKMA) disaran meningkatkan latihan kepada semua ahli koperasi seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata usaha itu wajar dilaksana memandangkan ahli koperasi merangkumi 20% penduduk negara.
"Kita kena memberikan satu latihan kepada semua ahli-ahli koperasi juga. Kalau kita lihat, ada 7.34 juta ahli koperasi iaitu merangkumi 20% daripada penduduk di Malaysia. Kita mempunyai anggaran lebih kurang 15,000 koperasi yang sedia ada di Malaysia."
"Maka saya rasa IKMA perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk melatih atau memberi satu latihan daripada segi bagaimana nak berniaga, menjalankan aktiviti-aktiviti dan itu adalah penting bagi pengurusan koperasi," kata Ramanan kepada pemberita selepas merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi Madani 2024 (Maskop) di IKMA, di sini.
Mengulas tentang MASKOP, katanya ia bertujuan memberi informasi kepada koperasi dari segi latihan, perniagaan dan ekonomi di bawah kementeriannya.
Inisiatif itu selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) 2023 yang menyasarkan tiga petunjuk prestasi utama iaitu perolehan, koperasi aktif dan Indeks Kesejahteraan Anggota (INDEKA).