fb fb fb fb fb

Kerajaan tingkatkan usaha tangani isu keciciran pelajar

Foto Fail

PUTRAJAYA, 8 Februari- Kerajaan akan meningkatkan usaha untuk menangani isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa cadangan penambahbaikan telah dikenal pasti bagi mengurangkan masalah berkenaan.

Jelasnya, empat faktor utama yang dikenal pasti adalah pelajar tidak berminat ke sekolah, mempunyai masalah kewangan, masalah keluarga dan kemiskinan.

"Beberapa cadangan penambahbaikan telah dikenal pasti iaitu menyebarluaskan maklumat tentang kepentingan mendapatkan pendidikan sehingga mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada kanak-kanak dan murid yang tidak bersekolah melalui media cetak, media elektronik dan media sosial."

"Kedua, membuat pemantauan berkala terhadap majikan yang mengambil pekerja yang masih bersekolah untuk mematuhi syarat dan waktu bekerja yang ditetapkan," kata Zahid menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat majlis Sosial Negara di Putrajaya.

Jelasnya, antara cadangan lain ialah menyediakan pusat latihan vokasional, memberi sokongan perkhidmatan kaunseling, sokongan psikososial dan bantuan kewangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM