KUALA LUMPUR, 26 Januari - Kabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
"Sepertimana yg telah dinyatakan dahulu adalah penggantungan umrah ini hanya 1 bulan, kita tidak mahu memanjangkan lagi penggantungan ini, jadi apabila 8 Febuari nanti, bolehlah 'travel agent' umrah ini meneruskan aktiviti umrah. Jadi inilah yang telah diputuskan pada hari ini oleh kabinet", katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Video 'Dream Malaysia' Tourism Malaysia & GoPro di ibu negara.