(Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan kepada 357 bakal Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Haji TH/BERNAMA)
SEPANG, 6 Jun- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap umat Islam di Malaysia terus bersatu hati tanpa melihat pada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Baginda bertitah perbezaan warna kulit , bahasa, kaum, pangkat dan darjat bukan lagi jurang pemisah antara umat Islam yang berhimpun di tanah suci.
"Perhimpunan haji merupakan satu manifestasi syiar perpaduan ummah yang maha agung untuk kita jadikan teladan dan pengajaran di negara kita.
"Lantaran itu, saya menyeru kepada para bakal haji dan seluruh rakyat Malaysia agar mengambil pengajaran daripada kesatuan dan perpaduan ummah dalam perhimpunan terbesar manusia di dunia ini untuk sama-sama kita jadikan teladan serta pedoman dalam membentuk semangat perpaduan dan ikatan ukhuwah di negara Malaysia yang kita cintai ini, " titah baginda dalam Majlis Mengucapakan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Musim 1444H/2023M di sini.
Baginda juga menasihati para jemaah agar memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelaksanaan ibadat haji dan menggunakan peluang yang diberi dengan memperbanyak amalan wajib dan sunat sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang telah diberi.
Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga berkenan bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji.
(Yang di-Pertuan Agong bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan
beramah mesra bersama jemaah haji /BERNAMA)