fb fb fb fb fb

IAM, Maybank beri sumbangan Ramadan kepada 250 penerima di Sik

(Sumbangan Ramadan IAM dan Maybank merupakan kotak makanan
yang mengandungi barangan keperluan makanan asas )

SIK, 28 Mac- Penoreh getah dan buruh kampung antara 250 golongan kurang berkemampuan di sekitar daerah Sik, Kedah menerima sumbangan Ramadan daripada Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan, NGO iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad.
 
Bantuan disampaikan oleh Presiden IAM, Zawahir Abdullah sempena Program Regional Ramadhan Relief 1444 Hijriah bersamaan 2023 Masihi di Dewan Teratai, Kampung Gajah, Putih, Sik.
 
Menurut Zawahir, penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, anak yatim, warga emas, ibu dan bapa tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), dan mereka yang mengalami masalah kesihatan.
 
Mereka menerima Pek Ramadhan yang mengandungi barang-barang keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan beberapa barangan lain.

Jelas Zawahir, program ini turut dilanjutkan ke beberapa lokasi lain di Wilayah Persekutuan, Perak, Kelantan dan Pahang.
 
Ia melibatkan seramai 1,625 penerima sumbangan.
  
"Mewakili penduduk Jeneri, saya ucap terima kasih kepada Maybank Islamic dan Islamic Aid yang sudi memberi sumbangan kepada warga yang kurang bernasib baik, ibu tunggal, anak yatim, OKU terutama di Jeneri.

"Kami ucap berbanyak terima kasih kepada pihak yang terlibat bagi sumbangan pada hari ni," kata Ridzuan Ahmad, salah seorang penerima sumbangan.

Bagi tahun 2023, Maybank Islamic Berhad telah memulakan pengedaran kotak yang mengandungi barangan keperluan makanan asas bernilai RM1.4 juta kepada lebih 7,000 keluarga kurang berkemampuan di 11 negara melalui Program Ramadhan Relief Serantau.
 
Bagi memastikan pengagihan bekalan makanan lancar, Maybank Islamic turut dibantu oleh lima pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM), Islamic Relief Malaysia (IRM), MERCY Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Ikhlas.


(Presiden IAM, Zawahir Abdullah menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penerima)

Media Baharu