fb fb fb fb fb

HUMANIZE Malaysia fokus kesihatan awam

Bakhtiar Talhah

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Isu kesihatan awam memerlukan perubahan besar termasuk menggunakan strategi sesuai dalam mendepani situasi itu.

Antaranya menggalakkan kehidupan yang lebih lestari dalam meningkatkan kesihatan, kesejahteraan sosial dan kualiti hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif HUMANIZE Malaysia Bakhtiar Talhah berkata, hampir satu perempat daripada kematian pramatang Malaysia direkodkan pada tahun 2022 disebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Sebanyak 95,266 kematian direkodkan dalam kalangan orang dewasa berumur antara 30 dan 69.

Sementara itu Malaysia juga mencatatkan kadar obesiti, diabetes dan hipertensi semakin meningkat.

"Kami percaya bahawa 'senario terburuk' boleh dielakkan sekiranya industri mengamalkan dasar dan amalan yang menggalakkan kelestarian hidup dan mengurangkan kemasukan pesakit dalam institusi kesihatan.

"Oleh itu, bagi meningkatkan kesihatan awam dan mengurangkan tekanan kewangan, sistem penjagaan kesihatan perlu ditingkatkan bagi mengurangkan keperluan untuk rawatan mahal selain mencegah pelbagai penyakit berisiko," katanya dalam Persidangan Asia Pasifik ke-8 mengenai Kesihatan Awam di Kuching, Sarawak.

Menurut Bakhtiar, tidak mudah untuk mengubah perilaku seseorang disebabkan ianya dipengaruhi faktor budaya, mental atau emosi yang tidak seimbang.

"Sudah tiba masanya untuk anjakan paradigma dalam menangani isu kesihatan awam selain strategi lebih seimbang dalam mengurangkan kemudaratan dan menggalakkan kesihatan awam," katanya.

Dalam pada itu HUMANIZE Malaysia terus komited meneroka cara baharu untuk memperoleh hasil terbaik dalam menyelesaikan isu kesihatan awam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI