NIBONG TEBAL, 24 September - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan mempunyai garis panduan berkaitan hukuman terhadap pelajar oleh guru.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata setiap guru yang ingin menghukum pelajar harus mempunyai dua orang saksi.
"Dua saksi sebenarnya (sudah lama ada) dan kita ada garis panduan (mengenainya). Yang kita (KPM) hendak sekarang ialah patuhi garis panduan terbabit.
"Jadi kita sentiasa akan pertegaskan semula dan kita mahu semua pihak memastikan bahawa garis panduan ini dipatuhi," katanya yang ditemui selepas merasmikan Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Acheh, di sini, hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan sebuah NGO yang meminta agar setiap guru yang ingin menjatuhkan hukuman terhadap pelajar harus mempunyai seorang saksi.
Jumaat lepas, seorang guru sekolah rendah dilaporkan telah menampar pipi kiri seorang murid selepas berang tidak menemukan surat yang dikehendaki dalam kejadian di sebuah sekolah di Klang, Selangor.
(FOTO Hiasan/FOTO RTM)