fb fb fb fb fb

Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu sehingga Rabu

KUALA LUMPUR, 18 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan kategori bahaya di Kelantan dan Terengganu sehingga Rabu depan.

Manakala hujan lebat berterusan kategori buruk dijangka berlaku di seluruh Perlis dan beberapa kawasan di Kedah, Perak serta Pahang bagi tempoh sama.

Kawasan terlibat di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, SIk dan Baling.

Di Pahang pula, amaran dikeluarkan untuk Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Sementara itu amaran sama turut dikeluarkan bagi daerah Hulu Perak, di Perak.

(Infografik amaran hujan berterusan yang dikeluarkan MetMalaysia pada pukul 12.30 tengah hari)

MetMalaysia turut meramalkan hujan berterusan kategori waspada berlaku seluruh Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Kedah, Perak dan Johor sehingga 21 Disember.

Kawasan terlibat di Kedah ialah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baru.

Di Perak pula, amaran dikeluarkan untuk daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama serta Kuala Kangsar.

Manakala di Johor, kawasan terjejas ialah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran hujan sangat lebat kategori bahaya dikeluarkan apabila hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter dalam tempoh 24 jam.

Media Baharu