SAMARAHAN, 13 Mei- Kementeria Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan mencadangkan agar penganjuran HSL Samarahan Marathon didaftarkan dengan Persatuan Marathon Antarabangsa (IMA).
Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini berikutan kejayaan penganjuran perlumbaan tersebut yang julung kalinya diadakan pada tahun ini.
Bercakap kepada media selepas sesi penyampaian hadiah kepada pemenang acara larian itu di Samarahan semalam, beliau berkata setakat ini dua acara marathon di Sarawak mendapat pengiktirafan daripada IMA iaitu Kuching Marathon dan Miri Marathon.
“Marathon Samarahan ini saya percaya kalau diangkat ia boleh diterima kerana penganjurannya cukup teratur dan sambutan daripada peminat larian jauh juga cukup baik” katanya.
Tambahnya lagi, acara tersebut diharap dapat dijadikan acara tahunan bawah kementerian bagi menarik lebih ramai pelari dari luar dan dalam negara.
HSL Samarahan Marathon 2024 kali ini dikuasai kedua-dua pelari dari negara Kenya, Lukas Mutetia dengan catatan masa 2 jam 42 minit 47 saat bagi kategori 42 km lelaki terbuka, manakala bagi kategori 42 km wanita terbuka dengan catatan masa Dorcas Tarus 3 jam 27 minit 13 saat.
Selain maraton penuh 42 km, turut dipertandingkan ialah separa maraton, 21 km, larian 6 km dan 3 km Fun Run dengan penyertaan kira-kira 6,000 peserta.