fb fb fb fb fb

Hospital Pendang dijangka siap sepenuhnya Jun depan



KEDAH, 25 Januari - Hospital Pendang bakal menjadi mercu tanda baharu daerah itu, dijangka siap sepenuhnya pada Jun depan.

Sebelum ini pembinaanya tertangguh beberapa ketika akibat penularan wabak COVID-19.

Exco Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran Negeri Kedah Datuk Suraya Yaacob menjelaskan, kerja-kerja pembinaan bangunan Hospital Pendang kini telah siap sepenuhnya.

Manakala baki kerja yang melibatkan kerja seni bina telah mencapai tahap 84 peratus, kerja mekanikal 84 peratus, kerja elektrikal 84 peratus, dan infrastruktur 87 peratus.

Kerja-kerja tersebut dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan selepas pihak kontraktor menambah bilangan pekerja mahir di tapak projek.

"Manfaat bukan sahaja kepada rakyat Pendang tetapi juga kepada penduduk di persekitaran daerah Pendang juga. Kerana ia akan punyai empat sub specialist. Maksudnya pembedahan juga boleh berlaku di hospital Pendang dan akan mengurangkan beban Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), paling penting ia pastinya menjadi mercu tanda dan juga pengakhiran suatu penantian yang agak panjang oleh rakyat Pendang," kata Suraya di sini.

Selain itu, pembinaan jalan masuk ke Hospital Pendang kini telah mencapai tahap 15 peratus dan dijangka siap pada 31 Julai ini.

Kelewatan disebabkan isu pengambilan balik tanah yang belum selesai.

Hospital pakar minor baharu untuk daerah Pendang bernilai RM56 juta itu dilengkapi dengan kapasiti 126 katil dan boleh ditambah sehingga 250 katil pada satu-satu masa.

Media Baharu