KAJANG, 5 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk meneliti permohonan siasatan semula membabitkan satu kes yang mendapat perhatian umum, seperti dikemukakan oleh peguam Zara Qairina.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses undang-undang perlu dihormati dan tidak wajar dijadikan polemik awam.
“Kita ikut langkah yang betul. Apabila berlaku insiden, Polis akan buka kertas siasatan dan serahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Biarlah proses itu berjalan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan i-Deen Kepulihan AADK 2025 di Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, adalah perkara biasa dalam sistem keadilan jenayah jika kertas siasatan dipulangkan semula kepada polis untuk penambahbaikan.
“Kalau ada kecacatan dalam kertas siasatan, memang menjadi amalan biasa Peguam Negara kembalikan kepada polis untuk diperkemaskan,” ujarnya.
Beliau turut menolak sebarang spekulasi berkaitan kesempurnaan siasatan atau desakan tertentu.
“Kalau kita cepat, dikata tergesa-gesa. Kalau lambat, dikata lembap. Jadi yang penting, kita hormat proses dan beri ruang kepada pihak berkuasa untuk laksana tugas secara profesional,” katanya.