Hobi menunggang motosikal satu ibadah sekiranya dilakukan dengan niat dan cara betul

Pegawai Agama dan Imam 1, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM, Ustaz Ramadhan Subky/Foto RTM

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 7 Ogos – Hobi menunggang motosikal boleh dikategorikan sebagai ibadah sekiranya dilakukan dengan niat dan cara yang betul.

RINGKASAN BERITA AI
  • Niat menentukan hukum; elakkan riak dan berniat demi kebaikan serta keselamatan ketika membeli atau menggunakan kelengkapan motosikal.
  • Utamakan pemeliharaan nyawa (hifzun nafs): jangan berlumba, berhati-hati dengan pengguna lain, budak dan haiwan di jalan raya.
  • Penganjur mesti pastikan acara selari syariat: tutup aurat, kawal pergaulan dan sediakan garis panduan serta peraturan dipatuhi peserta.

Pegawai Agama dan Imam 1, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Ramadhan Subky menjelaskan, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk mempunyai sebarang hobi termasuk aktiviti permotoran.

Bagaimanapun katanya hobi tersebut mestilah tidak melanggar syariat seperti membahayakan nyawa sendiri serta orang lain.

“Ia bergantung niat bagi setiap individu sama ada dia membeli kelengkapan motosikal dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau menggalakkan rakan lain untuk turut membelinya demi kebaikan dan keselamatan.

“Justeru, selagi mana niat bukan untuk riak, tidak membahayakan keselamatan orang lain, jadi ia dibolehkan. Kena jaga niat kerana setiap perkara bergantung pada niat kita,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan supaya individu yang menyertai aktiviti permotoran sentiasa menitikberatkan pemeliharaan nyawa atau hifzun nafs sepanjang perjalanan.

“Jalan raya bukan tempat nak berlumba kerana ada ramai pengguna lain. Kadang-kadang kita tidak sedar ada budak dan haiwan seperti kes langgar gajah di sebuah lebuh raya baru-baru ini. Sebab itu kena sentiasa berhati-hati ketika menunggang mahu pun memand atas jalan raya,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berpandangan pihak penganjur seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan setiap himpunan permotoran berlangsung selari dengan syariat.

“Pihak penganjur bertanggungjawab memastikan aspek syariat sentiasa dititikberatkan seperti menutup aurat, pergaulan bebas dan sebagainya.

“Sehubungan itu, penganjur seharusnya menyediakan garis panduan serta peraturan yang mesti dipatuhi oleh peserta,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.