KUALA LUMPUR, 17 Disember- Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara bakal dianjurkan sebagai inisiatif baharu bagi memperkukuh agenda pemerkasaan huffaz serta pendidikan tahfiz, bukan sahaja di peringkat nasional malah merentas rantau Nusantara.
Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, penganjuran kali ini menampilkan pendekatan lebih komprehensif dan kontemporari dengan menggabungkan elemen dakwah dan kesenian Islam, wacana keilmuan, jaringan kerjasama serantau serta perbincangan mengenai cabaran dakwah semasa.
“Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pertubuhan Institusi Tahfiz Al-Quran Nasional (PINTA) sebagai manifestasi tekad memperkasa pemelihara serta pewaris al-Quran, termasuk para huffaz, asatizah, pendakwah dan penggiat dakwah di dalam negara serta rantau Nusantara,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, program berkenaan bukan sekadar sebuah perhimpunan, sebaliknya berperanan sebagai platform penyatuan ummah yang mengangkat ukhuwah Islamiah, pemartabatan ilmu al-Quran serta pengukuhan dakwah melalui pendekatan yang berhikmah, berkesan dan penuh kesantunan.
Pada majlis sama, Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) yang dijadualkan dikuatkuasakan di seluruh negara mulai tahun hadapan turut akan dilancarkan.
“Penganjuran mega ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam membina negara yang inklusif, sejahtera dan berdaya tahan. Sejajar dengan teras Malaysia MADANI, program ini menekankan nilai perpaduan, keterangkuman, pendidikan berteraskan agama serta pembangunan modal insan yang seimbang dari segi fizikal, spiritual dan intelektual,” menurut kenyataan itu.
Antara pengisian utama program termasuk sesi Bicara Hati Umat bersama Abdul Somad Batubara, selain persembahan seni dakwah yang menghubungkan pendekatan dakwah kontemporari dengan seni, budaya serta suara anak muda.
Orang ramai dijemput hadir bagi menyemarakkan roh al-Quran pada 21 Disember ini bertempat di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak.