fb fb fb fb fb

Himpunan 24,000 huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan bulan depan - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

GUA MUSANG, 3 Ogos- Satu majlis yang menyasarkan untuk menghimpunkan 24,000 huffaz di seluruh negara akan dilaksanakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bulan depan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Himpunan Huffaz 24K itu, yang merupakan kesinambungan Himpunan Huffaz 23K pada tahun lepas, akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Jelasnya, pada tahun 2023,  kerajaan berjaya mengumpulkan 23,000 pelajar Maahad Tahfiz dan pada tahun ini bakal menghimpunkan 24,000 orang.

"Program tersebut merupakan bukti bahawa iltizam dan tekad Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan agama Islam, serta komitmen dan tekad Perdana Menteri yang mahu melihat Islam tertanam dengan baik dan syumul.

“Walaupun kerajaan pada hari ini daripada pelbagai parti namun agama Islam tidak dikompromi, malah ia diperkukuhkan di bawah Kerajaan MADANI. Ini bukan teori dan bukan satu formula tetapi satu bukti bahawa iltizam dan tekad kerajaan…soal yang termaktub dalam perlembagaan tetap dipertahankan oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berucap pada Program Pra-Tahfiz Kemas negeri Kelantan di Dewan Besar Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga berkata meskipun kerajaan pada hari ini terdiri daripada 18 parti politik pelbagai latar belakang, namun tiada satu parti yang menentang dan tidak bersetuju dengan program yang dilakukan kerajaan MADANI dalam memartabatkan syiar Islam.

ZEHRA BINTI ZAMBRI