KUCHING, 18 Februari- Kehilangan seorang lelaki di Taman Malihah, Matang, di sini, sejak tiga hari lepas terjawab selepas mayatnya ditemukan terapung di Sungai Bintawa, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa, Mohamad Hanafi Mohamad Nassir, 35, dijumpai oleh orang awam di kawasan berkenaan sekitar pukul 8.00 pagi.
Mayat kemudian dibawa keluar dari sungai terbabit oleh Polis Marin dengan bantuan bomba pada pukul 12.00 tengah hari.
Hasil pengecaman mangsa oleh keluarganya di Hospital Umum Sarawak mengesahkan mayat tersebut adalah Mohamad Hanafi yang dilaporkan hilang pada malam 15 Februari lalu.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.