fb fb fb fb fb

HePiLI@HuSel serlah bakat baharu, perkenal aktiviti fizikal

Karnival HePiLI@HuSel menarik penyertaan kira-kira 200 orang murid dalam acara dipertandingkan seperti senam sihat, lompat tali, sudut kesihatan, poster digital dan si cilik bercerita/ JKNS

HULU SELANGOR, 16 Julai - Penganjuran Karnival HePiLI@HuSel merupakan medium untuk mencungkil bakat bahari ke peringkat negeri selain memperkenalkan pelbagai aktiviti fizikal melalui teras Agenda National Malaysia Sihat (ANMS) kepada sekolah, khususnya Kelab Doktor Muda (KDM).

Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor, Dr Suhaida Mohd Sidek berkata, program Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI) bertujuan membudayakan amalan cara hidup sihat dalam kalangan warga institusi pendidikan, termasuk guru dan pelajar.

"Objektif utama karnival ini adalah untuk menyampaikan mesej kesihatan secara interaktif, menilai kreativiti dan kemahiran murid sebagai ejen penyampai mesej kesihatan, serta menyediakan platform perkongsian ilmu kepada semua yang terlibat.

"Selain itu, karnival ini juga merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada barisan penyelaras, guru dan pelajar yang telah gigih melaksanakan Program HePiLI," katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran program tersebut yang menarik kira-kira 600 pengunjung, bertempat di Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Bharu, di sini.

1607 PORTAL HEPILI HUSEL 2
Dr Suhaida (paling kanan) bergambar bersama ahli KDM semasa Karnival HePiLI@HuSel yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Ulu Yam Bharu/ JKNS

Antara acara menarik dipertandingkan termasuk senam sihat, lompat tali, sudut kesihatan, poster digital serta si cilik bercerita.

Selain itu, aktiviti pemeriksaan dan pameran kesihatan turut diadakan termasuk kehadiran trak Wellness on Wheel (Wow).

Pada masa sama Dr Suhaida berharap agar semangat dan amalan gaya hidup sihat yang dipupuk sepanjang karnival itu akan terus diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Tahniah saya ucapkan kepada semua jawatankuasa pelaksana, peserta dan semua yang terlibat dalam menjayakan karnival ini. Semoga usaha murni ini diberkati dan diteruskan pada masa akan datang," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI