KLANG, 26 Februari- Kusta bukan penyakit kutukan mahupun keturunan, sebaliknya masalah tersebut boleh dirawat dan disembuhkan sepenuhnya.
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, adalah penting bagi mengenali simptom awal penyakit kusta supaya rawatan dapat dimulakan secepat mungkin.
Jelasnya, penyakit tersebut boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan antibiotik sesuai, yang dikenali sebagai Multi-Drug Therapy (MDT).
"Walaupun Malaysia telah mencapai status eliminasi kusta sejak tahun 1994, saya difahamkan setiap tahun, kita masih mempunyai kes. Dan baru-baru ini, kita juga mempunyai kes dalam komuniti kita di Pandamaran Jaya.
"Menerusi kerjasama erat antara PBT (pihak berkuasa tempatan), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), NGO (badan bukan kerajaan), kita dapat membantu mengenal pasti serta menyokong pesakit bagi memastikan persekitaran yang kondusif tanpa stigma untuk pemulihan mereka," ujarnya.
Abd. Hamid berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Kusta Sedunia 2025 Peringkat Daerah Klang di Dewan Pandamaran Jaya, di sini, Sabtu lalu.
Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah, PKD Klang, Dr. Noriah Ismail; Ahli Majlis Zon N46A, MBDK, Chua Alan; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pandamaran Jaya, Mohamad Zahiruddin Mohamad.
Sambutan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan awam serta menghapuskan diskriminasi terhadap pesakit kusta.
Penyakit kusta atau lepra, adalah jangkitan bakteria yang disebabkan oleh Mycobacterium leprae, di mana ia mempengaruhi kulit, saraf serta mata.