KUALA LUMPUR, 11 Februari- Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi pemilihan parti kali ini.
Beliau turut memperkenalkan pasukannnya, Mohd Hairi Mad Shah yang akan bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO manakala Dr. Akmal Salleh dilantik sebagai Setiausaha Pemuda UMNO.
"Saya melihat semangat bangkit kembali yang mereka tonjolkan semasa penggal yang lepas. Maksudnya penggal ini, mereka ini bersungguh-sungguh untuk memastikan UMNO ini kembali berada di persada yang sebenarnya," kata Hasmuni dalam sidang media di ibu negara.
Beliau turut menyatakan fokus utama pasukannya adalah untuk menang Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, selain memastikan sokongan anak-anak muda kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional.
"Insya-Allah, lepas menang kita akan rangka strategi untuk memastikan sokongan anak-anak muda kembali kepada UMNO dan juga Barisan Nasional," tambahnya.
Turut hadir Datuk Rais Yassin, Johari Yazid, Hairi Md Shah, Dr Akmal Salleh, Mohd Naim Mokhtar dan Mohd Sollehin Mohamad Tajie.
Hasmuni yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu memohon kepada semua akar umbi agar menyokong beliau pada pemilihan kali ini.
Persidangan Cawangan telah bermula pada 1 Februari yang lepas dan berakhir pada 26 Februari akan datang.
Mesyuarat sayap Pemuda peringkat bahagian akan diadakan pada 11 Mac 2023 dan Mesyuarat UMNO Bahagian akan diadakan pada 18 Mac 2023 secara serentak seluruh Malaysia.
(Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata demikian dalam
satu sidang media di ibu negara)