fb fb fb fb fb

Pegawai dan anggota ATM digerakkan ke Turkiye, sertai misi kemanusiaan

SEPANG, 11 Februari- Seramai 106 pegawai dan anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan menyertai misi kemanusiaan gempa bumi Turkiye.

Antara yang terlibat, 14 pakar pelbagai bidang selain 12 orang doktor manakala selebihnya pembantu perubatan dan teknikal.

Jelas Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, kesemuanya bakal terlibat dengan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di daerah Adiyaman, tenggara Turkiye.

“Kita menyediakan pasukan trauma, diketuai Brigedier Jeneral Datuk Dr. Amran, dan beberapa pakar lain iaitu pakar bedah am, pakar ortopedik. Kita juga mengambil kira keperluan pakar perbidanan dan sakit puan selain pakar kanak-kanak yang amat diperlukan buat masa ini," kata Zulkeffeli kepada pemberita RTM ketika ditemu bual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seramai 34 anggota menyertai kumpulan kedua Op Starlight bagi misi pengendalian Hospital Medan Malaysia yang dijangka beroperasi selama enam minggu.

Kumpulan ketiga dijadual berlepas ke Turkiye pada Sabtu.


(Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh)

Media Baharu