KUCHING, 24 Mei - Karya tempatan mengenai peristiwa di Bukit Sadok yang menyaksikan kisah perjuangan pahlawan Iban, Rentap, perlu dihasilkan secara mendalam bagi memelihara warisan sejarah negeri, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata buku itu perlu sarat dengan fakta sejarah kepahlawanan Rentap dan kajian teliti mengenai pahlawan itu, mempunyai hubung kait dengan aktiviti lanun sewaktu pemerintahan Brooke.
“Kalau boleh dibuat kajian dari sudut perspektif sejarah kita, kerana ia ada hubung kait dengan piracy, apakah betul ia dikaitkan dengan Rentap. Jadi buatlah kajian sejarah seperti yang dilakukan oleh Datuk Dr Sanib Said… mungkin kita menulis buku ini daripada perspektif kita berserta fakta.
“(Buku) yang kedua ialah kisah mengenai Merpati Jepang iaitu seed of power di Sarawak, kerana Sarawak dahulu bukan macam seperti hari ini, Sarawak hingga ke Lidah Tanah dan Siniawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, malam tadi.
Bukit Sadok yang terletak di daerah Betong merupakan lokasi Rentap atau nama sebenar Libau anak Ningkan, membina kubu pertahanan daripada serangan pihak Charles Brooke.
Abang Johari turut menggalakkan penulis di Sarawak untuk menggunakan bahasa Sarawak dalam karya mereka bagi mengangkat nilai budaya negeri menerusi penulisan.- BERNAMA