PUTRAJAYA, 19 Januari - Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025, lebih 20 program akan diadakan di Putrajaya bermula minggu ini hingga akhir bulan depan.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata antara program menarik yang dirancang termasuk Hari Terbuka Putrajaya, Karnival Wilayah Persekutuan, Karnival Sukan dan Putrajaya Inter Park Ride.
“Kami bersama Jabatan Wilayah telah merancang pelbagai program sepanjang 28 Hari Wilayah, dan Putrajaya tidak ketinggalan. Pelbagai program akan dilaksanakan setiap minggu sepanjang Hari Wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan sempena SHWP 2025 di Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini.
Sebanyak 12,000 unit bendera telah diserahkan kepada ketua komuniti Putrajaya melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk diedarkan kepada penduduk dan komuniti sekitar kawasan tersebut.