fb fb fb fb fb

Hari Tanah Negara: Transformasi pentadbiran tanah secara digital diperkasa- Takiyuddin

PUTRAJAYA, 1 Ogos- Sambutan Hari Tanah Negara (HTN 2022) kembali diraikan bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah dalam memastikan perundangan dan pentadbiran tanah sentiasa relevan dan selari dengan arus perdana pembangunan negara.

Peranan itu amat penting bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan juga Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Selaras keperluan ekonomi semasa, kemajuan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, maka usaha Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian ke arah automasi dan penggunaan teknologi tinggi dapat diperkasa.

Tema sambutan HTN 2022 “Jajaran Pendigitalan Tanah Merentasi Sempadan” menggambarkan usaha komprehensif ke arah transformasi pentadbiran tanah secara digital setelah negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tema sambutan HTN 2022 iaitu “Jajaran Pendigitalan Tanah Merentasi Sempadan” menggambarkan usaha komprehensif ke arah transformasi pentadbiran tanah secara digital setelah negara dilanda pandemik COVID-19.

"Kajian dan cadangan sedang diteliti untuk melaksanakan perundangan tanah dalam kerangka elektronik dengan pengenalan kepada konsep 'private cloud', hak milik elektronik dan proses perserahan serta pendaftaran secara dalam talian melalui pindaan-pindaan yang dicadangkan dalam kanun tanah negara ini," katanya pada Majlis Perasmian HTN 2022 di Putrajaya.

Berlangsung sama, Persidangan Pentadbiran Tanah yang fokusnya bagi meningkatkan kefahaman berhubung kerangka asas pendigitalan, isu dan cabaran serta solusi terbaik yang boleh dilaksanakan.

Tiga kertas kerja dibentang antaranya pendigitalan oleh pihak MAMPU serta pelaksanaan E-Tanah dan sesi plenari bagi ketersediaan pentadbir tanah mengorak langkah menerusi sistem elektronik.

Tahun lalu, pencapaian membanggakan diperoleh menerusi empat pentadbiran tanah negeri yang mencapai prestasi seratus peratus pendaftaran pindah milik tanah dalam masa satu hari.

Agensi itu ialah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pahang.

Dalam pada itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli komited melaksanakan jajaran pendigitalan tanah merentasi sempadan menerusi Sistem e-Tanah.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, sistem pentadbiran tanah elektronik bersepadu dan komprehensif itu memudahkan masyarakat berurusan dengan pentadbiran tanah.

"Sebenarnya sistem ini diguna pakai supaya memudahkan pengguna untuk mereka membuat transaksi tanah ini daripada satu tempat ke satu tempat secara 'online' ataupun secara digital. Ini boleh memudahkan pengguna sebab prosesnya cepat dan dia tidak membebankan rakyat yang menggunakan sistem ini," katanya.


(Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju)

Media Baharu