SABAK BERNAM, 20 Oktober- Pendekatan berbeza dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahun ini dalam menyambut Hari Statistik Negara.
Bertemakan 'Statistik Nadi Kehidupan', Hari Statistik Negara 2023 disambut di seluruh negeri berbanding hanya peringkat kebangsaan sebelum ini.
Majlis perasmian Hari Statistik Negara 2023 diadakan di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor dan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron mewakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Sambutan secara tahunan pada 20 Oktober ini bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan statistik negara dalam kehidupan masyarakat.
"Antara usaha yang kita laksanakan untuk Hari Statistik Negara ini, bagaimana kita nak mendekatkan statistik yang dikeluarkan saban tahun yang saya nyatakan tahun ini saja, telah keluarkan lebih kurang 1,000 statistik supaya dimanfaatkan bukan sahaja untuk perbincangan parlimen tetapi rakyat biasa menikmati statistik bercorak setempat, "kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
DOSM bersama agensi pengamal statistik lain telah menyusun pelbagai program dan aktiviti peringkat negeri sehingga Ahad ini (22 Oktober) bagi meraikan Hari Statistik Negara 2023.
Ini meliputi Persidangan Statistik ke-10, Debat Statistik, Sesi Literasi Statistik bersama Institut Pengajian Tinggi (IPT), Forum bersama Pemain Industri dan Forum Perdana Ehwal Islam.
