fb fb fb fb fb

Hari Malaysia: Keretapi Sarong 2023 satu padukan rakyat Malaysia - Peserta

(Nurul Nabila Zakaria)

KUALA LUMPUR, 16 September- Ribuan peserta menggayakan kain sarung sama ada batik atau pelekat serta pakaian tradisional dalam memeriahkan program Keretapi Sarong 2023 (KS 2023) sempena sambutan Hari Malaysia.

Ia melibatkan tujuh hentian terpilih iaitu laluan Ampang, Gombak, Bandar Utama, Subang Jaya, Kajang, KL Sentral dan Putrajaya Sentral, seterusnya berkumpul di destinasi terakhir di Dataran Merdeka.

KS 2023 yang membawakan tema 'Etnik dan Perpaduan' turut dimeriahkan dengan persembahan busana sarung, persembahan 'flash mob', tarian joget lambak serta alunan runut awal 60-70an.

Bagi pelajar, Shezedee Shazarin, program KS 2023 dapat menyatupadukan rakyat Malaysia, serta mengeratkan silaturrahim.

"Saya suka (program ini) sebab ramai peserta. Di sini juga kita dapat menyatupadukan perpaduan sesama kita, (malah) boleh cari rakan baru, ada yang tidak kenal boleh jadi kenal. Ya, (program) sangat best dan enjoy," katanya.

Sementara itu, peserta lain, Shahrul Hafizi berkata, dia telah menyertai program berkenaan buat kali kedua.

"Saya nampak pelbagai bangsa dengan pakaian tradisional masing-masing. Ada juga (pakaian) yang saya tidak pernah tengok pun ada dalam Keretapi Sarong. Program ini membuatkan lagi kita sebagai rakyat Malaysia bersatu padu," katanya.

Bagi Nurul Nabila Zakaria pula, tema KS 2023 kali ini sangat menarik, sekali gus memberi peluang kepada peserta mempelbagaikan penggayaan busana masing-masing.

"Kali ini tema menarik sebab letak 'etnik', jadi macam-macam kita (peserta) boleh pakai. (Selain itu), saya boleh nampak semua orang walaupun tidak kenal antara satu sama lain, tetapi mereka bersatu, tidak kira bangsa," katanya.

Keretapi Sarong 2023 turut diadakan serentak di Johor, Perak, Kuala Terengganu dan menariknya dijayakan juga di United Kingdom.

(Peserta program Keretapi Sarong 2023)

Media Baharu