fb fb fb fb fb

Hari Malaysia: Detik keramat, simbol penyatuan

Meski sambutan kali ini berlangsung di semenanjung tanah air, ia tidak bermakna Sabah dan Sarawak, diketepikan

KUALA LUMPUR, 15 September - Hari Malaysia yang bakal disambut pada tanggal 16 September, bukan sekadar acara yang mengisi kalendar tahunan negara.

Sebaliknya, membawa mesej jauh lebih besar mengenai perjalanan panjang sebuah tanah air yang berdaulat.

16 September 1963, tarikh keramat yang menyaksikan Sabah dan Sarawak bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, membentuk Malaysia.

Peristiwa penting ini, menjadi simbol penyatuan dan muafakat, yang perlu terus dijadikan teladan.

Naib Canselor, Universiti Poly-Tech Malaysia, Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh, menegaskan peranan generasi dewasa amat penting dalam memberi penerangan kepada golongan muda mengenai makna sebenar Hari Malaysia.

"Pengambungan di antara tanah melayu Sabah dan Sarawak kita telah mencambahkan dari segi kepelbagaian kaum,

"Malaysia ada lebih daripada 60 etnik dan kaum dan oleh itu kita perlulah pastikan kita sambut Hari Malaysia supaya kita dapat perkukuhkan satu identiti dengan keistimewaan keistimewaan dan kekuatan kekuatan etnik dan juga kaum," ujarnya kepada RTM.

Pulau Pinang, menjadi lokasi sambutan Hari Malaysia 2025.

Menurut Pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, pemilihannya amat signifikan sekali gus mencerminkan keunikan Malaysia yang dihuni masyarakat berbilang kaum dan kaya warisan budaya, menjadi tunjang kepada kekuatan negara.

"Pembentukan Malaysia adalah berasaskan konsep berkongsi kekayaan. Negeri yang mempunyai hasil lebih banyak dikongsi bersama dengan negeri yang jauh ketinggalan,

"Inilah antara konsep harmoni yang terbina secara organik dalam kepelbagaian budaya, bangsa dan agama, sesuatu yang boleh dibanggakan. Antara kerajaan negeri juga wujud semangat saling bantu-membantu," ujarnya.

Meski sambutan kali ini berlangsung di semenanjung tanah air, ia tidak bermakna Sabah dan Sarawak, diketepikan.

Penggiliran lokasi sambutan, menegaskan mesej inklusif, bahawa Hari Malaysia adalah milik semua.

Ia peluang kepada rakyat di setiap negeri terlibat secara langsung dalam Sambutan Hari Malaysia dan memahami sejarahnya.

Langkah ini dapat memastikan semangat penyatuan dan kebersamaan, sentiasa mekar.

Sambutan Hari Malaysia mengingatkan kita tentang detik kelahiran Malaysia.

Menyedari asal-usul ini penting agar rakyat tidak alpa terhadap pengorbanan pemimpin terdahulu dalam membina Malaysia yang berdaulat.

Ia juga menegaskan bahawa Malaysia terbentuk melalui semangat muafakat, toleransi dan persefahaman, bukannya perpecahan.

Selamat menyambut Hari Malaysia.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN