fb fb fb fb fb

Empat unit Flat Pinggiran, Batu Caves musnah dalam kebakaran

Empat unit rumah flat di tingkat lima Flat Pinggiran, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Batu Caves musnah dalam kebakaran

BATU CAVES, 15 September - Empat unit rumah flat di tingkat lima Flat Pinggiran, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Batu Caves, di sini musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Izani Mohd Zin dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.39 pagi sebelum tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Kebakaran melibatkan empat unit rumah dengan tiga daripadanya musnah sepenuhnya, manakala satu mengalami kerosakan antara 40 hingga 80 peratus.

"Seramai 22 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dibantu BBP Sungai Buloh, Gombak Selatan dan Shah Alam digerakkan bersama lima jentera," menurut kenyataan itu.

Api berjaya dikawal pada pukul 12.11 tengah hari dan kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI