fb fb fb fb fb

Hari ATM ke-89 beri peluang rakyat saksikan aset tiga cabang tentera

KUANTAN, 26 September- Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89 tahun 2022 diadakan secara terbuka bagi memberi peluang buat rakyat menyaksikan aset-aset gabungan tiga cabang ATM.

Acara yang berlangsung tepat pukul 9.00 pagi itu, dimulakan sebaik sahaja ketibaan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang seterusnya melakukan pemeriksaan barisan.

Sebaik selesai, dua segmen dipersembahkan buat rakyat iaitu Perbarisan Tempur berkonsep statik dengan 796 pegawai dan anggota.

Manakala, segmen Demontrasi Keupayaan Aset dan Kompetensi Pasukan Khas ATM melibatkan 673 pegawai dan anggota yang terdiri daripada Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU).

(Sebahagian persembahan sempena Hari ATM ke-89)

Sambutan kali ini turut mempamerkan kesiagaan aset dan kompetensi para juruterbang ATM menerusi simulasi serangan udara.

Turut mencuri tumpuan, terbang lintas empat pesawat helikopter ATM yang membawa bendera ATM, Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa perbarisan tempur dilakukan yang diketuai Pegawai Memerintah No 10 Skn TUDM, Leftenan Kolonel Paranjothi Manogharan.

Antara aset dipamerkan, Kenderaan Perisai Adnan, Gempita dan Sistem Pelancar Roket Berganda (ASTROS) dari TDM.

Sambutan tahun ini dijayakan oleh 1,887 orang termasuk kumpulan pentadbiran.

Media Baharu