fb fb fb fb fb

Harga ayam terus dipantau, pastikan harga stabil

KELANTAN, 4 September- Ingatan terus diberikan kepada peniaga supaya tidak menjual ayam melebihi harga siling yang telah di tetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sentiasa memantau perkara berkenaan bagi memastikan harga ayam stabil di pasaran.

Beliau yang juga ahli Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di amanahkan untuk memantau perkara tersebut.

Pada masa sama, jelas Datuk Seri Mustapa, pasukan itu juga sentiasa mengambil maklum isu – isu yang berbangkit mengenai bekalan ayam dari masa ke semasa.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed) 

"Kita sedia maklum, beberapa laporan yang kita terima di mana ada menyatakan bahawa bekalan ayam semakin mencabar ada yang menyatakan harga sekarang ini anak - anak ayam ini makin meningkat jadi pihak urusetia memang memantau laporan media dan maklum balas daripada orang ramai dan tindakan segera di ambil insya-Allah kita akan buat yang terbaik untuk pastikan bahawa isu ayam ini dapat kita stabilkan," katanya selepas melawat Laman Warisan Seni dan Masjid Kampung Laut di Tumpat.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mustapa memaklumkan, sehingga kini kerajaan masih memberi subsidi dan harga siling bagi ayam standard yang ditetapkan di pasaran adalah RM9.40 sekilogram.

Justeru itu, tegas beliau sekiranya terdapat mana-mana peniaga ingkar mereka akan di kenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, mengenai lawatannya ke Laman Warisan Seni dan Masjid Kampung Laut, beliau berkata, projek tersebut menelan belanja kos RM40 juta membabitkan pembinaan tiga komponen utama termasuk masjid selain outlet perniagaan yang baru dan siap sepenuhnya Mac lalu.

Operasi di kawasan berkenaan bermula April lalu membabitkan keseluruhan 23 outlet yang kebanyakannya menjual pelbagai produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan kini ia menjadi salah satu produk pelancongan tumpuan pelancong di Kelantan.

Media Baharu