fb fb fb fb fb

Hapus hutang peneroka Felda: PM kemuka bukti esok

(Datuk Seri Anwar  ditemu bual selepas menghadiri Majlis Sambutan
Maal Hijrah 1445 Hijrah Perpaduan Tanjong Karang)

TANJONG KARANG, 19 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan bukti bahawa beliau telah menandatangani dokumen bagi penghapusan hutang peneroka Felda sebanyak RM990 juta esok.

Ujarnya, beliau akan menghubungi Ketua Setiusaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bagi menyerahkan bukti tersebut sebelum berlepas ke Vietnam untuk lawatan rasmi dua hari.

"Saya boleh bawa, tak perlu tunggu 24 jam, esok dalam 12 jam saya boleh. Memang saya tandatangani (dokumen) pada 27 hari bulan (Jun). Nampak mereka tidak buat kerja. Tidak tahu, mereka cabar.

"Kalau saya tunjuk bukti saya hendak mereka minta maaf secara terbuka," kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah Perpaduan Tanjong Karang di sini.

Perdana Menteri mengulas tuntutan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan bawah pentadbirannya.

Terdahulu dalam ucapannya Anwar berkata beliau tidak akan menzalimi sesiapa, termasuk individu daripada parti pembangkang.

Beliau sendiri tahu bagaimana kehidupan di dalam penjara dan tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri.

“Kalau ikut kadang-kadang geram, saya dah perosok dalam lokap tetapi tidak boleh sebab negara ini negara hukum (mempunyai undang-undang).

“Orang PAS ke, orang Bersatu ke, saya tidak akan zalimi kerana saya tahu kesengsaraan duduk dalam penjara,” tambah Anwar.

(Datuk Seri Anwar di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah Perpaduan Tanjong Karang)

Media Baharu