fb fb fb fb fb

Hanya badan berautoriti dilantik Sultan atau Raja boleh sahkan perkahwinan

PUTRAJAYA, 17 Oktober - Hukum samada sah atau tidak sesebuah perkahwinan itu hanya dapat ditentukan badan berautoriti di negeri-negeri yang telah dilantik Sultan atau Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata masyarakat perlu memahami kaedah perkahwinan di setiap negeri termasuk Perlis.

Menurutnya lagi, Mufti Wilayah Persekutuan juga akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai hukum terhadap persoalan mengenai perkahwinan pelakon tanah air Sabri Yunus dan isterinya, Ardini Angeline Tan.

"Yang detail hukum Insya-Allah kita tengok bagaimana pejabat mufti Wilayah Perseketuan, itu pun setakat di Wilayah Persekutuan, perlu ingat ya... perkahwinan itu di Perlis. Jadi maknanya yang berautoriti menentukan samada perkahwinan itus sah atau pun tidak ialah badan yang berautoriti di negeri Perlis tersebutlah.

"Maknanya sesiapa yang tidak diberikan tauliah wali hakim dia tidak ada kuasa untuk menikahkan mana-mana pihak, jadi saya percaya mufti negeri Perlis sudah tentu, kalau tidak dia tidak akan nikahkan orang, maknanya dia telah mendapat tauliah yang disebut sebagai tauliah wali hakim untuk menikahkan mana-mana pasangan yang tidak ada wali," kata Dr Mohd Na'im selepas menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Khidmat Cemerlang, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini.

Pada majlis tersebut, seramai 21 orang petugas YADIM termasuk golongan daie atau pendakwah di lapangan turut menerima Anugerah Khidmat Cemerlang bagi menghargai tugas mereka.

Menurut Dr Mohd Na'im lagi, masyarakat perlu faham tentang keperluan hukum dan peraturan-peraturan yang terkandung dalam sesebuah perkahwinan Islam.

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)

Media Baharu