fb fb fb fb fb

Hantaran jelik terhadap Agong, penceramah bebas mengaku tidak bersalah

IPOH, 11 Julai- Seorang penceramah bebas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui perbualan di aplikasi WhatsApp, tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Abdul Malik Hussain, 62 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp 'soal jawab tasawuf-(sufi)'.

Hantaran tersebut telah dilihat sekitar pukul 8.30 malam di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri di dalam daerah Perak Tengah pada 22 November 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.


(Foto Hiasan)

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Khazali Yin.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Media Baharu