fb fb fb fb fb

Bengkel meletup: Tauke maut, pekerja patah kaki

(Letupan berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja
kimpalan terhadap sebuah lori tangki di dalam bengkel berkenaan)

JOHOR BAHRU, 11 Julai- Seorang pemilik bengkel maut manakala pekerjanya cedera selepas bengkel membaiki jentera berat meletup dalam kejadian di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.13 malam itu, mangsa yang berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pekerjanya yang berusia 27 tahun melecur dan patah kaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba , Saifulbahari Safar berkata, kebakaran telah memusnahkan 60 peratus premis itu.

Semasa kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan sedang melakukan kerja-kerja kimpalan terhadap sebuah lori tangki di dalam bengkel berkenaan.

“Ketika melakukan kerja-kerja kimpalan tangki minyak yang losing berlaku satu letupan yang sehingga meragut nyawa seorang lelaki yang juga pemilik bengkel dan seorang lelaki yang juga pekerja melecur dan patah kaki.

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan rawatan kecemasan,” katanya.

Terdahulu, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, BBP Larkin dan BBP Pekan Nenas diatur gerak ke lokasi kejadian bersama dengan kekuatan 24 anggota.


(Anggota bomba dari BBP Skudai, BBP Larkin dan BBP Pekan Nenas
diatur gerak ke lokasi kejadian)

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada pukul 11.39 malam.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Media Baharu